Tuesday

UMMU HAKIM

Ummu Hakim mohon pengampunan nabi.

UMMU Hakim lahir dalam keluarga bangsawan Quraisy yang disegani pada ketika itu. Ayahnya adalah Al-Harith bin Hisyam iaitu saudara kandung kepada Abu Jahal. Ibunya ialah Fatimah binti Al-Walid, saudara kandung Khalid Al-Walid. Suaminya pula adalah Ikramah bin Abu Jahal yang pada mulanya merupakan ketua pasukan tentera Quraisy yang menentang tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad.

Ikramah membawa isterinya berangkat ke medan peperangan ketika Perang Uhud meletus. Ummu Hakim berbaris dengan wanita lain di belakang pasukan tentera Quraisy memukul gendang untuk menaikkan semangat para pejuang mereka untuk bertempur dengan tentera Islam. Mereka memusuhi agama Islam dan nabi Muhammad kerana dorongan ayahnya, Abu Jahal yang menentang keras agama Islam. Ini semua berlaku sebelum hati Ikramah dan Ummu Hakim terbuka pada agama Islam.

Apabila kota Mekah jatuh ke tangan pasukan tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad, Ummu Hakim bersama sepuluh wanita Quraisy telah pergi berjumpa dengan nabi Muhammad untuk memohon pengampunan dan memeluk agama Islam.

Menggoda
Ummu Hakim mendapat tahu bahawa suaminya termasuk dalam senarai orang yang akan dihukum mati kerana menentang pihak Islam dengan keras dan kejam.

"Ya Rasulullah, saya memohon agar suami saya diberi pengampunan di atas kesalahannya selama ini," pohon Ummu Hakim yang datang berjumpa Nabi Muhammad untuk mendapat jaminan keselamatan bagi suaminya.

"Baiklah," Nabi Muhammad meluluskan permohonannya.

Namun Ikramah yang mendapat tahu bahawa dirinya sedang diburu tentera Islam melarikan diri ke negara Yaman. Ummu Hakim berasa kecewa dengan tindakan Ikramah itu dan mengambil keputusan untuk menjejaki suaminya sehingga menemuinya. Dia berjumpa dengan Rasulullah untuk meminta izin bagi mencari suaminya dan dibenarkan oleh Nabi SAW.

Ikramah yang telah tiba di negara Yaman seterusnya bertekad untuk meninggalkan semenanjung Arab menuju negara Habsyah (Ethiopia) di benua Afrika. Dia pun menaiki kapal di pelabuhan Yaman untuk meneruskan rancangannya. Namun kapal yang dinaikinya di landa taufan lalu merempuh ombak besar. Ikramah menjadi takut dan kecut lalu berjanji untuk memohon maaf dari Nabi Muhammad sekiranya selamat dari bencana itu. Kapal itu selamat dengan izin Allah.

Ketibaan Ikramah di pantai Tihamah di sambut oleh isterinya, Ummu Hakim dengan wajah ceria. Ummu Hakim telah menempuh pelbagai rintangan dan halangan untuk berjumpa dengan suaminya. Ummu Hakim ditemani oleh seorang hamba lelaki berbangsa Rom ketika keluar kota Mekah menuju destinasi mencari suaminya.

Hamba lelaki itu menggoda Ummu Hakim lalu mendesaknya untuk melakukan perkara yang terkutuk. Namun Ummu Hakim berjaya menjaga maruah dirinya dengan menolak keinginan hambanya itu dengan bijaksana.

"Hasrat kamu akan ku tunaikan setelah bertemu dengan suami saya," Ummu Hakim memperdayakan hambanya dengan berjanji palsu dengannya.

"Baiklah," balas hambanya dengan penuh harapan.

Kemudian dia meneruskan perjalanannya menuju ke pantai Tihamah kerana mendapat berita bahawa suaminya berada di situ. "Saya sudah memohon pengampunan dari Nabi Muhammad untuk diri kamu. Beliau telah mengabulkan permohonan saya. Kamu selamat pulang ke Mekah," ujar Ummu Hakim kepada suaminya yang khuatir untuk pulang bersamanya.

"Betulkah apa yang dikatakan oleh kamu itu," Ikramah kelihatan was-was.

"Ya. Nabi Muhammad berjanji tidak akan menghukum kamu".

Selepas berbincang dengan panjang lebar, hati Ikramah menjadi lembut dan tenang untuk mengikut Ummu Hakim pulang ke Mekah. Mereka akhirnya tiba di depan pintu nabi Muhammad dan memohon izin untuk berjumpa dengan beliau. Nabi Muhammad gembira menyambut ketibaan Ikramah dan isterinya. Ikramah melafazkan dua kalimah syahadat di hadapan nabi Muhammad lalu memeluk agama Islam. Ikramah memohon pengampunan dari nabi Muhammad di atas kesalahannya selama ini memusuhi agama Islam dan diri nabi Muhammad. Nabi Muhammad mengampuni segala kesalahannya selama ini dan menikahkan Ikramah dengan Ummu Hakim.

Ketika Perang Yarmuk meletus, Ummu Hakim keluar bersama suaminya, Ikramah yang memimpin pasukan tentera Islam untuk bertempur dengan orang Rom. Ummu Hakim tidak melepaskan peluang untuk turut berjuang bersama pasukan tentera Islam untuk membunuh pasukan tentera Rom yang memusuhi mereka. Dengan menggunakan pedang untuk menebas dan menikam tentera Rom yang cuba menghalang pergerakannya. Hatinya puas apabila melihat beberapa orang tentera musuh rebah menyembah bumi akibat tikaman dan tebasan pedangnya. Jiwanya yang berani dan kental mengatasi ketakutan yang biasa ada pada diri wanita untuk menentang pihak musuh Allah.

Ummu Hakim kehilangan suami tercintanya dalam Perang Yarmuk, namun hatinya gembira kerana Ikramah mati kerana menegakkan agama Islam. Selepas tamat tempoh idah, Khalid bin Said telah melamarnya ketika pasukan tentera Islam sedang menanti serangan dari pasukan tentera Rom dalam Perang Maraj Ash-Shuffar.

Sengit
Ummu Hakim menerima lamaran Khalid bin Said lalu mereka bernikah di sebuah jambatan di Safar, selatan Damsyik yang kini dikenali sebagai jambatan Ummu Hakim. Mereka mengadakan jamuan makan kepada pasukan tentera Islam sempena majlis pernikahan mereka. Namun sebelum sempat mereka makan, pasukan tentera Rom sudah menyerang mereka. Khalid bin Said bertempur dengan berani untuk melawan kemaraan tentera Rom. Ummu Hakim pula mengikat pakaiannya lalu turut serta bertempur melawan pasukan tentera Rom. Pertempuran antara dua pasukan tentera itu berlangsung berhampiran sungai.

"Walaupun ini merupakan hari pernikahan saya dengan Khalid, namun saya tak akan meraikannya sehingga Allah memberi kemenangan ke atas pasukan tentera Islam," detik hati Ummu Hakim yang memegang pedang menebas dan menikam pihak musuh.

"Serang dan tentang pihak musuh sehingga titisan akhir darah kamu!," jerit komander pasukan tentera melihat kemaraan pasukan tentera Rom yang semakin mengasak kubu pertahanan tentera Islam. Pertempuran itu berlaku dengan begitu sengit sehingga Khalid bin Said dan ramai tentera Islam terkorban dalam peperangan itu. Ummu Hakim berjaya membunuh tujuh orang tentera Rom dalam peperangan itu. Ummu Hakim tidak sedih atau sayu dengan kematian Khalid bin Said pada hari pernikahannya. Ini adalah kerana suaminya terbunuh ketika menentang pihak musuh Islam. Ummu Hakim menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 14 Hijrah. Semoga Allah menempatkan Ummu Hakim di kalangan orang yang dikasihi-Nya.

: Sayangi Diri : Sayangi Keluarga