Di dalam sebuah hutan, terdapat seekor singa yang menganggap dirinya sebagai raja rimba. Ia sering memperkecil-kecilkan kebolehan haiwan lain. Ia berasa megah kerana menganggap dirinya lebih kuat dan gagah daripada haiwan-haiwan lain. Haiwan lain terpaksa hormat dan patuh kepadanya.
Pada suatu hari, singa pergi berjalan-jalan di tepi laut. Tiba-tiba ia ternampak seekor ikan lumba-lumba sedang berenang-renang.
"Sungguh cantik gaya ia berenang. Tentu ia juga seekor ikan yang gagah kerana badannya sangat besar" fikir singa.
Ketika ikan lumba-lumba berenang ke tepi pantai, singa terus memanggilnya.
"Bolehkah saya berkawan dengan kamu?" tanya singa.
"Saya sungguh gembira kerana kamu yang gagah ingin berkawan dengan saya" kata ikan lumba-lumba dengan gembira.
"Kamu juga seekor ikan yang gagah. Kamu juga boleh melompat dengan baik. Kamu boleh isytiharkan diri kamu sebagai raja di laut. Selepas ini kita mesti tolong-menolong. Saya akan tolong kamu ketika kamu susah dan kamu mesti tolong saya ketika saya ada masalah" kata singa.
Ikan lumba-lumba bersetuju dengan cadangan singa. Pada suatu hari, singa telah menghadapi masalah. Seekor lembu jantan yang besar ingin beradu tenaga dengannya. Lembu itu berasa marah kerana singa telah membaham seekor anaknya. Singa berasa takut lalu ia pergi mencari sahabatnya, si ikan lumba-lumba.
"Wahai sahabat, kamu mesti menolong saya. Saya ingin kamu beradu tenaga dengan seekor lembu jantan. Ia ingin mencabar kuasa saya tetapi saya kurang sihat. Bolehkah kamu tolong saya?" tanya singa.
"Maafkan saya. Saya tidak boleh menolong kamu. Saya tidak boleh beradu tenaga dengan lembu itu kerana saya tidak boleh hidup di darat. Saya hanya boleh hidup di dalam air" kata ikan lumba-lumba.
Singa berasa marah apabila mendengar kata-kata sahabatnya. Singa menuduh ikan lumba-lumba sengaja memungkiri janji mereka. Ia berlalu dari situ dengan perasaan marah.
Moral: Jangan memaksa orang lain membuat sesuatu perkara yang tidak mampu dilakukan. Petikan dari Buku Koleksi cerita-cerita moral