Monday

SINGA DAN GAJAH

Singa ialah seekor haiwan yang garang dan kuat. Ia mempunyai kuku yang kuat dan gigi yang tajam. Oleh sebab itu, singa digelar Raja Rimba. Semua haiwan di dalam hutan takut dan hormat kepadanya. Namun begitu, singa masih tidak berpuas hati. Ia masih terasa ada kekurangan pada dirinya. Singa berasa sedih mengenangkan akan kekurangan dirinya. Setiap hari ia memikirkan tentang kekurangan dirinya itu.

Pada suatu hari, singa duduk termenung di tepi sungai. Tiba-tiba lalu seekor gajah. "Wahai singa, mengapakah kamu nampak muram dan sedih?" tanya gajah. "Oh, gajah! Sebenarnya saya sedang memikirkan akan kekurangan diri saya. Walaupun saya telah di gelar Raja Rimba tetapi saya masih berasa ada kekurangan pada diri saya" kata singa dengan sedih.

"Usah kamu bersedih. Setiap haiwan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing" Kata gajah sambil mengibas-gibas telinganya.

"Mengapakah kamu mengibas-gibas telinga?" tanya singa, ia berasa hairan melihat gajah mengibas-gibas telinganya.

"Tidakkah kamu lihat, nyamuk-nyamuk itu berterbangan dan cuba hinggap pada telinga saya. Jika mereka dapat masuk ke dalam telinga saya, tentu saya akan mati" kata gajah.

Singa hanya mengangguk-angguk. Barulah ia faham bahawa semua haiwan mempunyai masalah dan kekurangan masing-masing. 'Sedangkan haiwan yang paling besar seperti gajah pun takut akan haiwan sekecil nyamuk. Sepatutnya aku bersyukur kerana telah dikurniakan banyak kelebihan' fikir singa.

Moral - Kita mesti bersyukur dengan kelebihan yang diberikan.
Petikan dari Buku Koleksi cerita-cerita moral

: Sayangi Diri : Sayangi Keluarga