Monday

TUN GHAFAR BABA

Tun Abdul Ghaffar ialah Ketua Menteri Melaka yang kedua dan yang pertama dipilih oleh rakyat dan mula berkhidmat pada 1 Jun 1959 sehingga 5 Oktober 1967. Tun Abdul Ghafar juga ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 5 Mei 1986, di samping pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia pada tahun 1986. Beliau juga merupakan pemimpin yang paling lama berkhidmat dalam kerajaan semenjak terpilih memenangi pilihanraya yang pertama pada tahun 1955.

Tun Abdul Ghafar telah dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 18 Februari 1925. Bapanya bernama Baba bin Abdullah, berasal dari Sungai Udang, Melaka dan ibunya bernama Saodah binti Saleh, berasal dari Kampong Bemban, Melaka.

Tun Abdul Ghafar berasal daripada sebuah keluarga yang miskin. Bapanya pernah bekerja sebagai pemandu teksi, penarik beca, pemandu kereta lembu dan penoreh getah. Tun Abdul Ghafar adalah anak yang keenam daripada sembilan orang adik-beradik. Beliau menjadi anak yatim piatu ketik
a berumur 8 tahun. Semenjak itu, Tun Abdul Ghafar tinggal bersama bapa saudaranya. Tun Abdul Ghafar terpaksa berdikari bagi menampung perbelanjaan hariannya dengan menjadi ‘caddy’, pemungut bola tenis dan penjual kayu api.

Tun Abdul Ghafar sedar bahawa pendidikan amat penting untuk mengubah kehidupannya yang miskin. Beliau mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ketika berumur 6 tahun. Ketika berumur 13 tahun, beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Tangga Batu, Melaka.

Tun Abdul Ghafar mula melibatkan diri di dalam UMNO Melaka pada tahun 1951 sebagai anggota biasa. Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha UMNO Melaka sehingga tahun 1955. Tugasnya sebagai seorang guru tidak menghalang beliau untuk menyumbangkan tenaga bagi menghidupkan UMNO Melaka yang telah lemah akibat penarikan diri Jasmi Abdul Hamid dan pengasas-pengasas UMNO Melaka yang lain. Tun Abdul Ghafar bersama-sama anggota-anggota UMNO Melaka yang lain seperti Hasnol A. Hadi, Haji A. Wahab Hassan, Borhan Md. Yaman dan Abu Samah A. Aziz telah mengadakan ceramah-ceramah penerangan untuk menarik minat orang ramai terhadap UMNO.

Beliau terus menjadi wakil rakyat dengan memenangi beberapa pilihanraya berikutnya iaitu pada tahun 1959, 1964 dan 1969. Dalam tahun 1962, beliau dipilih menjadi Naib Presiden UMNO Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1967, beliau telah menjadi ahli Kabinet dan pada bulan Mac 1968 dilantik sebagai Senator merangkap Menteri tanpa portfolio dan Pengerusi FAMA. Walau bagaimanapun beliau meletakkan jawatan pada bulan Mac 1969, sebelum bertanding kerusi Parlimen Kawasan Melaka Luar.

Pada tahun 1976, beliau keluar dari Kabinet apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Namun, beliau aktif semula dan bertanding bagi kerusi Parlimen Jasin pada tahun 1978 dan berjaya mengekalkan kerusi tersebut selama 4 penggal hingga tahun 1995. Pada bulan April 1987, beliau telah berjaya mengalahkan Dato’ Musa Hitam bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Tun Abdul Ghafar bukan sahaja aktif di era politik, malah beliau juga aktif di dalam kegiatan sukarela dan sukan. Beliau pernah menjadi Pengerusi PGA dan ‘Lawn Tennis Association’ mulai Disember 1984, Presiden ‘Asian Tennis Circuit Council’, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Melaka, Pengerusi ‘Merdeka Scholarship Fun Committee’ dan Bekas Presiden Bulan Sabit Merah Melaka.

Tun Abdul Ghafar telah berkahwin dengan Toh Puan Hajah Asmah bte Alang dan dikurniakan dengan sepuluh orang cahayamata. Kemudian beliau bertemu jodoh dengan Toh Puan Haryati bte A. Rahim dan dikurniakan dengan seorang cahayamata.

Pingat darjah kebesaran yang pernah diterima oleh Tun Abdul Ghafar adalah anugerah kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 27 Julai 1985, anugerah ‘Bapa Perpaduan’ oleh Pemuda UMNO Kota Melaka pada tahun 1987, ‘Malaysian Institute of Management Honorary Fellowship Award’ pada tahun 1988, anugerah ‘Bapa Yang Disayangi’ oleh Persatuan Telegu Malaysia pada tahun 1990, pingat kebesaran S.S.M. yang membawa gelaran ‘Tun’ pada tahun 1995 dan anugerah ‘Tun Abdul Razak Foundation National Award’ pada 19 Mac 1998.

Atas hasrat untuk mengembalikan ingatan dan sebagai mengenang jasa sumbangan Allahyarham, Kerajaan Negeri Melaka melalui Perbadanan Muzium Melaka telah menjadikan kediaman beliau di Bukit Peringgit sebagai Galeri tun Abdul Ghafar bin Baba dan mula dibuka kepada orang ramai pada 2006.


: Sayangi Diri : Sayangi Keluarga