Abdullah bin Ubai dikenali sebagai pemimpin kaum munafiq. Sebagai munafiq perkataannya selalu mengelirukan umat Islam. Mengumpat, berbohong dan menyebar fitnah adalah aktiviti yang dilakukan bersama kaumnya. Rasulullah dan Sahabat sangat mengetahui siapa Abdullah bin Ubai itu dan apa yang selalu dilakukannya terhadap umat Islam. Banyak yang tidak suka dengan perangai Abdullah bin Ubai ini.
Suatu hari diakhir hayatnya, Abdullah bin Ubai ditimpa sakit kuat. Dengan bibir gementar yang semakin membiru, Abdullah bin Ubai meminta kepada anaknya agar dipanggilkan Rasulullah. Dia ingin didoakan oleh Rasulullah. Abu Abbas yang menyaksikan peristiwa itu menyangka bahawa Rasulullah mustahil mahu datang menemui tokoh munafiq tersebut. Ternyata apa yang disangkakan Abu Abbas tidak terjadi. Rasulullah datang bersama Umar Al Khattab. Kepada Rasulullah, Abdullah bin Ubai memohon agar baginda bersedia melepaskan jubahnya dan menyelimuti dengan jubah tersebut. Kalau pun dengan berselimut jubah itu tidak juga menyembuhkan penyakitnya, Abdullah masih berharap biarlah dia mati dengan berselimutkan jubah Rasulullah. Dengan penuh kasih sayang Rasulullah menunaikan permintaan Abdullah bin Ubai. Sehingga akhirnya Abdullah meninggal dunia dalam penderitaan dan kesakitan di bawah jubah Rasulullah.
Peristiwa itu membuat Saidina Umar tertanya-tanya. Dia tidak menyangka Rasulullah akan berbuat sejauh itu terhadap ketua munafiq yang telah banyak menabur fitnah dan perpecahan di kalangan umat Islam.
"Alangkah beruntungnya Abdullah bin Ubai, dia meninggal dunia dengan berselimutkan jubah baginda yang suci. Para sahabat yang setia pun belum tentu mendapat keistimewaan itu" kata Umar.
Rasulullah tersenyum penuh kearifan dan kasih sayang. Dengan suara yang lembut, baginda memberitahu Umar: "Sahabatku Umar, sesungguhnya jubah Rasulullah tidak akan menyelamatkan Abdullah bin Ubai atau siapa sahaja sebab manusia hanya selamat oleh iman dan taqwa masing-masing".
Ucapan Rasulullah itu meninggalkan kesan yang dalam pada diri Abu Abbas dan Umar, dan ucapan itu perlu menjadi ingatan bagi umat sepanjang zaman. Abu Abbas kembali mengingati sikap Nabi ketika melakukan beberapa peperangan. Dalam keadaan kalah ataupun menang sikap Nabi tetap istiqamah. Ketika kalah baginda tidak dendam dan ketika berjaya baginda tidak mengganas, bahkan mengingatkan satu peringatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Perangilah kerana Allah orang-orang yang memerangi kamu sahaja dan jangan kamu lakukan dengan berlebihan kerana Allah tidak menyukai kamu yang melampaui batas" Al-Baqarah:190
Petikan dari Buku Menyingkap peristiwa dan keistimewaan Sirah kehidupan Nabi SAW, Sahabat dan Ahli Hikmah.
Pengarang: Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj