Monday

PARA KHALIFAH

'Mengeluh kerana keikhlasannya teruji'

Pada suatu hari seorang sufi Darwish dan muridnya sedang melakukan perjalanan mendaki bukit, pada tengahari yang panas. Dalam perjalanan tersebut murid itu mengeluh kerana panas. Dia berkata "Alangkah panasnya hari ini". Dalam dunia sufi ungkapan seperti ini dapat diertikan sebagai kurang ikhlas menerima kehendak Tuhan.

Pada malam harinya, guru dan murid ini bermalam di sebuah gua di salah satu bukit. Keadaan di dalam gua sangat gelap. Si guru mengambil batu api dan berkali-kali berusaha menyalakan api namun tidak kunjung nyala. Si guru kemudian berkata "Pasti salah seorang di antara kita telah melakukan dosa siang tadi sehingga Tuhan menghukum kita dengan kegelapan. Kita harus bermuhasabah pada diri kita masing-masing. Baiklah aku mulai dengan diriku"

Guru itu terdiam sejenak mengingat-ingat semua perbuatannya siang tadi yang kemungkinan merupakan dosa. Setelah beberapa saat kemudian si guru berkata pada muridnya "Aku tidak jumpa pada diriku. Cuba sekarang engkau mulai dengan dirimu!"

Si murid berfikir mencari-cari kesalahan dirinya, kemudian dia berkata pada gurunya "Hanya sebuah ungkapan kecil sahaja guru. Tadi siang saat matahari terasa sangat panas saya mengeluh, alangkah panasnya siang ini"

Si guru menatap si murid dan berkata "Kau katakan itu hanya sebuah ungkapan kecil? Ainamakanuka min al-shabri (di manakah kesabaranmu)? Bangun dan kerjakan solat dua rakaat dan mohon ampun pada Allah!"

Setelah si murid selesai daripada solatnya kemudian si guru mencuba menyalakan api lagi. Kali ini dengan mudah api dapat menyala dan menerangi ruangan gua. Si guru kemudian memberi penjelasan "Sebenarnya semua yang dilakukan Allah terhadap manusia ada hikmah dan kasih sayang Tuhan yang besar kepada manusia. Siang tadi matahari terasa sangat panas, kerana saya mohon kepada Tuhan untuk mengasihi dan mengampuni warga kampung di bawah sana. Penduduk kampung itu sudah terlalu banyak berbuat maksiat dan dosa sehingga Tuhan bermaksud untuk membinasakan mereka dengan mengutus belalang agar memakan tanaman-tanaman mereka".

"Kemudian aku berdoa:
'Ya Allah akankah kau seksa mereka sementara ada kami yang sentiasa mengingatiMu di antara mereka.
Ya Allah, akankah kau seksa mereka sementara mereka adalah umat Muhammad yang lemah.
Ya Allah, kasihanilah mereka kerana kami.
Ya Allah, kasihilah umat Muhammad yang lemah ini'
Tidak lama setelah itu sinar matahariterasa sangat panas. Dengan sinar matahari yang panas itu belalang-belalang itu tidak mampu lagi meneruskan perjalanan dan mati kerana panas. Ini bererti Allah telah menarik seksanya atas penduduk kampung berkenaan. Sekarang tengoklah di belakang gua ini dan ambil bangkai-bangkai belalang itu untuk makan malam kita kali ini"

Murid itu terus menuju ke belakang gua yang ditunjukkan gurunya dan masya Allah dia benar-benar mendapati ribuan belalang yang telah mati. Benarlah bahawa musibah yang diterima oleh sesuatu bangsa atau kaum boleh jadi merupakan rahmat bagi bangsa atau kaum lain.

Petikan dari Buku Menyingkap peristiwa dan keistimewaan Sirah kehidupanNabi SAW Sahabat & Ahli hikmah
Disusun oleh: Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj.

: Sayangi Diri : Sayangi Keluarga