Muzium Orang Asli terletak bersebelahan Taman Buaya, Air Keroh Melaka. Muzium ini telah dibuka kepada orang ramai pada 3 Februari 1997. Muzium ini mengkhusus kepada memperagakan bahan dan peralatan harian suku kaum asli seperti Senoi, Jah Hut dan Mah Meri.
Terdapat lebih 5 buah galeri dan tema dipaparkan di Muzium ini seperti kaedah-kaedah menangkap ikan, peralatan pertanian, ruang dapur dan bilik tidur serta senjata-senjata yang digunakan. Antara bahan tarikan ialah peralatan di rumah, alat pemburuan, upacara sewang dan sebagainya. Muzium terbaik untuk memperkenalkan corak hidup dan kepercayaan masyarakat yang menyimpan seribu satu misteri.
Muzium Orang Asli pada awalnya terletak di dalam Hutan Rekreasi Ayer Keroh di bawah pengawasan jabatan Perhutanan sebelum dipindahkan ke sebuah tapak baru bersebelahan Taman Buaya oleh Perbadanan Muzium Melaka pada Disember 1996 bagi meningkatkan sambutan orang ramai. Muzium ini diadaptasikan dari replika rumah orang asli yang terdapat di negara ini.
Antara objektifnya adalah:
Untuk mempamerkan warisan serta sosio-budaya masyarakat orang asli khususnya di negeri Melaka dan Malaysia amnya.
Mempamerkan cara hidup serta alat-alat yang digunakan sebagai keperluan harian antaranya ukiran patung, pakaian, alat memasak dan sebagainya.
Memelihara dan menjaga warisan budaya serta pusaka orang asli yang kian pupus ditelan arus pembangunan.