Pada zaman dahulu dalam sebuah hutan belantara, ada seekor Sang Kancil yang pandai memutar alam. Pada suatu hari Sang kancil berjalan-jalan di tepi sungai. Dia ternampak di seberang sungai sana terdapat banyak pokok-pokok kayu yang daunnya kehijauan dan buahnya yang ranum. Jadi, timbullah hasrat Sang Kancil untuk berpindah ke sana.
Memandangkan sungai itu banyak buaya, Sang Kancil takut untuk berenang. Sang Kancil pun mula berfikir bagaimana dia boleh ke sana dengan muslihat. Akhirnya dia berjaya mendapat satu idea. Kata Sang Kancil sambil berteriak, "Hoi Sang Bedal semua!!!! Timbullah kemari!! Ini ada pesanan dan arahan daripada **Raja Sulaiman". Mendengarkan teriakan Sang Kancil, buaya-buaya yang ada dalam sungai itu pun timbul dan pergi ke arah Sang Kancil.
Kata Sang Kancil lagi, "Kamu diperintahkan untuk membuat satu barisan dari tebing ini hingga ke tebing sebelah sana, sebab aku nak kira berapa bilangan kamu semua dalam sungai ini, Raja Sulaiman
hendak tahu berapa bilangan kamu semua". Buaya-buaya pun berpaling kepada seekor buaya tua yang menjadi ketua mereka. Buaya tua itu pun memberikan isyarat supaya anak buahnya mengikut sahaja kata-kata Sang Kancil.
Lalu, satu barisan buaya pun dibentuk dalam sungai menghubungkan dua tebing, manakala sibuaya tua mengambil kedudukan di bahagian tengah. Setelah satu barisan dibentuk, Sang Kancil pun gembira. Dalam hatinya dia pun berfikir, "Haaa!! Kenyanglah aku hari ini, dapat makan sepuas-puas hati" Dia pun terus melompat ke atas belakang dari seekor buaya ke sekor buaya yang lain sambil membilang, "Satu, dua, tiga, empat.... semua buaya aku lekuk". Bila tiba di tengah-tengah sungai, buaya tua tersenyum sambil menghalang Sang Kancil dengan mengangkat ekornya ke atas.
Tanya sibuaya tua, "Bila engkau berjumpa Raja Sulaiman Sang Kancil?". Sang Kancil pun menjawab dengan ketakutan. Sambil berbohong Sang Kancil pun menjawab, "Err!! Aku berjumpa dengannya kelmarin".
Tanya sibuaya tua lagi, "Apa buktinya?".. Sang Kancil terdiam dan tidak dapat menjawab soalan itu malah dia menjadi bertambah takut. Kata sibuaya tua, "Kalau kamu membawa apa-apa pesanan dari Raja
Sulaiman kamu kenalah tunjukkan apa-apa dokumen yang boleh dipercayai daripadanya, sekarang kami tak percaya".
Sang Kancil dalam ketakutan itu sempat juga bertanya, "Dokumen yang macam mana, Sang Bedal, ada contoh tak?". Sibuaya tua pun mengeluarkan sekeping kulit kayu, "Ini contohnya, cuba baca".
Sang Kancil bertambah kecut apabila ayat yang tertulis pada kulit kayu itu berbunyi, "Kepada kaum buaya yang menghuni alam.... Dengan titah perintah Duli Yang Mulia, setelah diperkenankan oleh duli-duli
yang mulia raja-raja dengan ini diisyhtiharkan bahawa mulai sekarang masyarakat kamu boleh memakan apa sahaja yang kamu suka, Sekian, tanda tangan: Penyimpan Mohor Besar Raja Sulaiman".
Apa lagi, Sang Kancil pun memohon maaf dan merayu supaya dia dilepaskan. Tapi permohonannya ditolak. Lalu Sang kancil pun dimakan oleh buaya-buaya itu dengan lahapnya.
**Raja Sulaiman---Nabi Allah Sulaiman, Rasul ketika itu.
Moral:
Jangan menipu orang lain, nescaya hidup kita tidak akan selamat di dunia dan di akhirat. Kalau memerlukan pertolongan rakan, mintalah dengan secara baik dan ikhlas. Dan yang pentingnya, adalah berDOSA BESAR mereka-reka sesuatu kenyataan, atau apa sahaja pernyataan yang kemudiannya mengatakan bahawa ia daripada Rasul Allah untuk kepentingan dan faedah diri sendiri atau untuk kepentingan sesiapa sahaja. [atau secara ringkasnya jangan memalsukan hadis - Na'uzubillah]