Nanti adik mesti tanya: Kenapa emak dan ayah berpisah? Kenapa emak dan ayah Ee tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Najlah tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Fifi pun tak berpisah? Kenapa mesti emak dan ayah adik berpisah?
Emak usap kepala adik. "Adik, ayah tak tinggalkan adik, ayah ada, satu hari nanti ayah balik.." emak pujuk adik lembut-lembut. Adik senyum, tak sabar rasanya nak menunggu 'satu hari' itu. Selama ingat adik, adik cuma lihat wajah ayah di gambar yang tergantung dibilik emak. Penat adik menggelamun, akhirnya adik terlelap. Sedar saja adik dengar laungan azan subuh. Merdu dan mendayu-dayu. Adik bingkas bangun. Lama adik termenung.
"Sedapnya? Satu hari nanti adik pun nak nyanyi nasyid macam tu.." adik tersengih dibelakang emak yang sudah siap bertelekung.
"Itu bukan nasyid sayang, itu azan, laungan untuk menyeru semua umat islam menunaikan solat", emak membetulkan pengetahuan adik.
Emak memimpin adik ke bilik air. Emak mengajar adik berwuduk. Mula-mula adik kena basuh tangan. Moga-moga dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh tangan gugur bersama air sembahyang. Lepas tu adik berkumur dan begitulah seterusnya. Adik cari telekung, nak pakai cantik-cantik macam emak pakai. Emak tersenyum, tapi adik lelaki.. Emak mengajar adik bersolat.
Bila selesai, adik tersenyum."Mak, mesti Tuhan sayang kat adik kan?" emak menggangguk. "mesti lepas ni Tuhan bagi balik ayah kat adik kan?" emak mengangguk lagi. Adik tersenyum puas. Wahh.. Tuhan sayang kat adik, Tuhan tak sayang kat Ee, Tuhan tak sayang kat Najlah, Tuhan tak sayang kat Fifi. Tuhan sayang kat adik seorang saja. Adik tersenyum bangga.
Pagi itu, seperti biasa adik ikut emak menjaja kuih. Keliling kampung adik berjalan mengikut emak. Ketika emak berhenti di kedai Long Gayah meletakkan kuih muih, adik berlari mendapatkan Ee, Najlah dan Fifi yang sedang bermain di tepi longkang. "Nak main jugak," adik tersengih menegur kawan-kawannya. "Boleh, tapi kami main rumah-rumah. Najlah jadi emak, Fifi jadi kakak. Adik jadi ayah ye.." Najlah memberi cadangan. Adik tersengih dapat jadi ayah. Tapi macam mana nak jadi ayah, Adik tak tau apa peranan ayah. "Tak boleh? Tak boleh.. Adik tak boleh jadi ayah, sebab Adik tak ada ayah. Biar Ee jadi ayah, Ee ada ayah..", Ee mula memberontak.
Adik sekadar menggangguk. Jauh disudut hatinya, Adik sedih. Adik nak menangis, tapi cepat-cepat Adik teringat, pagi tadi Adik solat subuh, Tuhan sayang kat Adik, Tuhan tak sayang kat Ee. "Adik jadi mamak roti, sebab Adik hitam macam mamak roti," Ee memberi cadangan. "Adik tak mahu jadi mamak roti, Adik nak jadi orang laung azan". "Mana boleh!" Ee memberontak. Ee tolak Adik. Bedebukkk!! Adik jatuh ketanah. Adik tak mengalah, Adik bangun tolak Ee kuat-kuat. Bedebukkk!!! Ee jatuh. Ee menangis teresak-esak. "Ee bagitau kat ayah!" Ee gertak Adik. Adik diam.
Adik nak bagitau siapa?Adik hanya boleh bagitau emak, tapi emak Adik tak boleh lawan ayah Ee. Ayah Ee kuat. "Adik bagitau mak!" Adik melawan. "Ayah Ee kuat, mak Adik tak kuat!" Ee mengamuk "Adik Bagitau Tuhan! Mak kata Tuhan kuat tak ada siapa boleh lawan Tuhan!" Adik berlari meninggalkan Ee termanggu sendiri.
Adik menangis teresak-esak. "Kenapa?" soal emak lembut. "Mak, Kenapa adik hitam macam mamak roti?" "Mana ada hitam, kulit adik kan sama macam kulit mak.., kalau Adik hina kulit Adik maknanya Adik hina kulit emak juga, Tuhan marah tau.." Emak memujuk Adik.
Memanglah kulit Adik macam kulit emak sebab emak, emak Adik dan Emak bukan orang melayu, Emak orang bangsa lain. Emak tinggalkan keluarga dan amalan nenek moyangnya demi sayangkan ayah. Sebab itu, emak tak pernah membenci ayah biarpun ayah meninggalkan emak sendiri. Kerana ayahlah, emak kenal agama Islam. Kerana ayahlah emak kenal Allah. Kerana ayahlah emak keluar dari kegelapan. Dan kerana ayahlah, emak ada Adik. Biarlah ayah tinggalkan emak tapi emak tidak akan meninggalkan Allah. Allah Yang Satu.
"Mak, Kenapa Adik tak ada ayah?" Emak pening. Soalan itu lagi diulang-ulang. Emak cuma diam merenung tanah. "Adik..," Long Gayah menghampiri Adik dan Emak. "Walaupun Adik tak ada ayah, tapi Adik ada emak, betul tak?, Emak boleh jaga Adik lebih baik dari ayah Ee jaga Ee, kan??", Long Gayah pujuk Adik. Airmata Adik disapu. Wajah Adik dielus lembut. Kepala adik diusap penuh kasih sayang. "Mungkin kalau Adik ada ayah, Adik tak ada emak. Mana satu adik nak", LongGayah sambung lagi. "Adik nak dua-dua sekali", jawab Adik tersekat-sekat. Long Gayah terdiam. Tak tau nak jawab apa lagi. Adik ternganga menanti jawapan Long Gayah. "Adik tau ayah tak sayang Adik, tapi Adik tau Tuhan sayang Adik sebab Adik sembahyang subuh pagi tadi, kan Long?" Long Gayah mengangguk.
Tersenyum dengan linangan airmata. Berlinang airmata mengenangkan Adik, anak kecil yang terlalu rindukan kasih ayah. Mengenangkan emak, saudara baru yang ditinggalkan terkontang-kanting menempuh ranjau hidup sendirian. Mengenangkan segala-gala rencah hidup manusia zaman sekarang. Memikirkan bagaimana agaknya emak akan membesarkan Adik untuk menjadi seorang muslim sejati. "Adik nak balik, Adik nak sembahyang subuh lagi, nak sembahyang banyak-banyak kali, biar Tuhan sayang Adik banyak-banyak." Lamunan LongGayah terhenti dengan suara kecil Adik.
Long Gayah ketawa kecil dengan teletah Adik. Adik mengheret tangan emak. Nak balik rumah lekas-lekas. Sedang Adik dan emak mahu melintas jalan, sebuah kereta menderu laju memintas lalu berhenti betul-betul dihadapan emak dan Adik. Adik kaget. Emak memeluk Adik erat-erat. 3 lelaki berkulit lebih kurang emak keluar dari kereta. Dengan wajah garang, suara garang dan segala-gala garang, 3 lelaki berkulit lebih kurang emak mengheret emak masuk ke dalam kereta. Emak menjerit dan meronta dengan bahasa yang adik tak faham. 3 lelaki itu juga turut bercakap dalam bahasa yang adik tak faham sepatah haram.
Dengan kudrat yang ada, emak melawan bersungguh-sungguh. Adik menangis dalam pelukan emak. Rangkulan emak makin erat. Raungan Adik semakin kuat. Rasa takut, marah dan benci dengan 3 lelaki itu menyerang seluruh jiwa Adik. Allah Maha Penyayang. Ketika itu Adik nampak Long Gayah berlari keluar dengan batang penyapu ditangannya. Ayah Ee turut serta sambil menggenggam parang panjang. Dibelakangnya diikuti beberapa orang pakcik yang sedang makan digerai Long Gayah. Apalagi, 3 lelaki berbahasa pelik itu membuka langkah seribu meninggalkan emak terjelepok ditanah. Emak menangis teresak-esak. Merintih-rintih dalam bahasa yang Adik tak faham. Adik menendang-nendang angin melepaskan geram pada lelaki yang menyebabkan emak bertukar bahasa itu.
Hampir sejam emak mengumpul kudrat untuk pulang ke rumah. Adik tanya emak siapa lelaki berbahasa pelik itu. Tapi emak tak jawab. Long Gayah tanya, emak jawab pula. Emak kata mereka mahu emak balik. Balik ke mana? Balik ke pangkuan keluarga dan amalan asal nenek moyang emak. Mereka mahu emak meninggalkan cahaya Allah. Emak bertekad tidak akan meninggalkan agama Allah. Tidak akan meninggalkan cahaya Allah yang sentiasa menyinari hidup emak. "Kalau ada ayah, mesti ayah lindungi kita kan emak..," Adik merungut lagi. "Tak apa Adik, Allah ada, Allah akan lindungi kita, Allah lagi kuat dari ayah" Adik menggangguk lemah.
Emak merangkul Adik dengan penuh kasih sayang. "Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih Adik, biarlah hidup kita miskin, asalkan amal ibadat kita kaya Adik, biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasihkan kita.." Adik terlelap dipangkuan emak. "Adik..bangun", Adik terkejut apabila emak menepuk-nepuk tubuh adik. Kenapa emak kejut Adik? Adik tak dengar pun azan subuh. Yang adik dengar hanyalah bunyi pintu kayu rumahnya diketuk bertalu-talu. Emak mencium Adik bertalu-talu, kelam kabut Emak menolak tubuh adik masuk ke bawah katil. Berkali-kali Adik tanya Kenapa, tapi emak tidak menjawab. Emak pesan kepada Adik supaya tidak keluar selagi Emak tak panggil. Adik menggangguk.
Selepas itu, Adik tak nampak apa yang berlaku. Yang Adik dengar hanyalah suara lelaki bercampur baur dengan tangisan emak. Sekali lagi mereka berbicara dalam bahasa yang Adik tak faham. Yang Adik dengar hanyalah suara Emak menyebut kalimah Allah. Itu sahaja yang Adik faham. "Allah.. Allah.. Allah..." emak terus menyebut kalimah itu biarpun suara lelaki berbahasa pelik itu menjerit menengking kepada emak. Emak terus menyebut kalimah suci itu tanpa rasa gentar. Adik menggigil dibawah katil. Adik nak keluar, nak tengok apa yang berlaku pada emak. Nak tolong emak. Adik kan lelaki! Tapi Adik ingat pesan emak. Adik perlu patuh kepada emak, kalau tidak Tuhan marah.
"Allahuakbarrr!!!!!!!!!!!!" suara jeritan emak memecah suasana. Adik menggigil lagi. Adik cuba mengamati apa yang berlaku. "Allah... Allah... Allah.." kalimah suci itu kedengaran semakin perlahan. Lama kelaman Adik tak dengar lagi kalimah itu. Suara emak telah terhenti. Begitu juga suara lelaki-lelaki berbahasa pelik. Kenapa emak diam? Adik terus menunggu emak memanggil Adik keluar. Menunggu dan terus menunggu. Sehinggalah, laungan azan subuh kedengaran. Adik serba salah. Tapi Adik perlu keluar untuk sembahyang subuh supaya Allah sayang Adik.
Mahu tak mahu, Adik merangkak keluar. Ketika Adik teraba-raba, tangan Adik tersentuh cecair. Adik diam. Seingat Adik, Adik tak tumpahkan air semalam. Adik tersengih, mungkin adik kencing malam. Habislah emak marah Adik. Adik merangkak berhati-hati.Tatkala adik mengangkat kepala, Adik kaget lagi. Didepannya, tubuh emak kaku berlumuran darah dengan pisau panjang tercacak didadanya. Namun Al-Quran di tangan emak, tetap erat digenggamannya. Dunia Adik terasa berpusing, gelap, masa terhenti.
"Emakkkkk!!!!!!!" Laungan Adik memecah keheningan subuh.
"Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih Adik,
biarlah hidup kita miskin, asalkan amal ibadat kita kaya Adik,
biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasihkan kita.."
Selepas ini tak ada lagi emak yang akan wudukkan Adik. Tak ada lagi emak yang akan bentangkan sejadah untuk Adik. Tak ada lagi emak tempat Adik mengadu dan tak ada lagi emak, satu-satunya manusia dalam hidup Adik. Adik memandang sayu pusara emak melangkah longlai meninggalkan harum seroja yang harum seharum kasih emak pada Adik.
Demi Allah, Demi Rasul, Demi Islam Yang Tercinta..
Subhanallah walhamdulillah wala ilahaillallah Allahuakhbar..
Wassalam..
oleh Siti Hawa
Batu Berendam, Melaka
(sitihawa@omegasemicon.com.my)