Tuesday

Menghormati Para Sahabat

Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah dan pemimpin umat yang patut dihormati oleh masyarakatnya, akan tetapi kerana kemuliaan akhlaknya, Nabi juga menghormati masyarakatnya.

Suatu ketika seorang sahabat terlambat datang ke majlis Nabi, tempat sudah penuh sesak. Dia minta izin untuk mendapatkan tempat, namun sahabat yang lain tidak ada yang mahu memberinya tempat. Melihat sahabatnya yang sedemikian itu, Nabi memanggilnya dan memintanya duduk dekatnya.Tidak cukup dengan itu, Nabi pun melipat serbannya lalu diberikan pada sahabat tersebut untuk dijadikan alas tempat duduk. Melihat perlakuan Nabi seperti itu sahabat tersebut berlinang airmatanya.Dia tidak menolak pemberian serban itu, hanya sahaja dia tidak menjadikannya alas duduk. Dia menerima serban itu dan menciumnya berkali-kali sebagai tanda terima kasihnya pada Nabi.

Itulah akhlak Nabi, Baginda sangat menghormati masyarakatnya seperti mereka menghormati dirinya. Bukan itu sahaja, rasa hormat Nabi Muhammad pada sahabatnya itu nampak daripada cara baginda melihat sahabatnya. Dalam banyak hadis Nabi memuji para sahabat beliau, sehingga tidak mudah bagi kita untuk menentukan siapa sahabat yang paling utama.

Terhadap Abu Bakar, Nabi selalu memujinya, kerana Abu Bakarlah yang diminta menjadi imam ketika baginda sakit tenat.

Tentang Umar, Nabi pernah bersabda:
'Syaitan sahaja takut dengan Umar, bila Umar lewat jalan yang satu, maka syaitan lewat jalan yang lain'

Dalam riwayat lain disebutkan:
"Nabi bermimpi minum susu. Belum habis satu gelas, Nabi memberikannya pada Umar dan dia meminumnya sampai habis."

Para sahabat bertanya: "Ya Rasul, apa maksud mimpimu itu?"

Nabi menjawab "Ilmu pengetahuan"

Tentang Uthman, Rasul sangat menghargai Uthman kerana Uthman menikahi dua puteri Nabi, sehingga Uthman digelar dzu-nurain.

Mengenai Ali, Rasul tidak sahaja menjadikannya menantu, tetapi memberinya gelaran-gelaran mulia. Banyak sekali riwayat yang menyebut keutamaan Ali.

"Aku ini kota ilmu, dan Ali adalah pintunya".
"Barang siapa membenci Ali, maka dia merupakan orang munafiq"

Dan banyak lagi kenyataan lain yangmemuji Ali. Begitulah cara Nabi menghormati sahabat-sahabatnya dan itulah contoh akhlak Nabi yang mulia.

Dalam peristiwa lain, ketika di Mekah, Nabi didatangi utusan pembesar Quraisy Utbah bin Rabi'ah.Dia berkata kepada Nabi:
"Wahai anak saudaraku, kau datang membawa agama baru, apa sebenarnya yang engkau kehendaki. Jika engkau kehendaki harta, akan kami kumpulkan kekayaan kami. Jika engkau inginkan kemuliaan akan kami muliakan engkau. Jika ada sesuatu penyakit yang dideritaimu, akan kami carikan ubat. Jika engkau inginkan kekuasaan, biarlah kami jadikan engkau penguasa kami"

Demi mendengar perkataan tokoh musyik itu Nabi tetap bersifat sabar. Dengan sopan Nabi tidak pernah sekalipun membantah atau memotong bicaranya. Ketika Utbah berhenti, Nabi bertanya:
"Sudah selesaikah, Ya Abal Walid?".
"Sudah" kata Utbah.

Selanjutnya Nabi membalas ucapan Utbah dengan membaca surah fushilat. Ketika sampai pada ayat sajadah, Nabi bersujud. Sementara itu Utbah duduk mendengarkan Nabi sampai menyelesaikan bacaannya dan kemudian menjawab permintaan Utbah dengan tenang dan hati-hati tanpa melukai perasaannya. Kesabaran Nabi dalam mendengarkan pendapat dan cadangan Utbah, si tokoh musyik itu adalah merupakan sikap hormat dan sekaligus bijaksana.

Baginda mendengarkan dengan baik dan tidak memotong bicara Utbah, meskipun bicara itu bertentangan dengan pendapatnya. Itulah yang disebut cara-cara hikmah. Iaitu membantah pendapat orang lain dengan cara yang bijaksana dan tetap menghormati pendapat orang lain. Itulah salah satu akhlak Nabi dalam majlis ilmu, sekali pun yang dihadapi adalah orang musyik. Dengan cara begitu akhirnya Utbah mahu mendengarkan perkataan Nabi dan bahkan menyuruh kaumnya membiarkan Nabi berbicara.

Petikan dari Buku Menyingkap peristiwa dan keistimewaan Sirah kehidupan Nabi SAW, Sahabat dan Ahli Hikmah.
Disusun oleh: Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj.

: Sayangi Diri : Sayangi Keluarga