Firman Allah dalam surah al-Qadar :
Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut ) . Sejahteralah malam ( yang barakah ) itu hingga terbit fajar ". (Surat al-Qadar ayat :1-5 )
Kita akan merasa kesal jika mensia-siakan peluang keemasan yang Allah sediakan kepada kita iaitu malam Lailatul Qadar. Kerana segala amal ibadah yang dilakukan pada malam tersebut, ganjaran berlipat kali ganda. Janganlah kita seolah-olah merasakan amal ibadah kita telah banyak sehingga mengabaikan malam tersebut. Malam Lailatul Qadar adalah malam untuk kita melipatgandakan amal ibadah dan mengumpul sebanyak-banyaknya pahala sebagai bekalan ketika bertemu Allah di akhirat kelak. Sedangkan Rasulullah s.a.w. . Sendiri menanti-nanti malam tersebut dan melipat gandakan amalan Baginda, inikan lagi kita sebagai hamba yang banyak melakukan dosa dan sedikit amal.
Dalam sebuah Hadis ada menyatakan bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata :
Maksudnya : " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga ". ( Hadis riwayat bukhari )
Lailatul Qadar adalah malam yang dianugerahkan kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w. dan tiada siapa yang tahu bila berlakunya malam tersebut walau diri Baginda sendiri. Sungguhpun demikian, Baginda menasihatkan umatnya supaya sentiasa memperbanyak dan mempertingkatkan amal ibadah khususnya pada malam-malam ganjil pada akhir Ramadan.
Sabda Baginda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari :
Maksudnya : " carilah malam Lailatul Qadar pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadan ". ( Hadis riwayat bukhari )
Pada waktu dan saat begini, kemeriahan menyambut awal Syawal atau hari raya semakin dirasai. Masing-masing sudah berkira-kira dan merancang perjalanan untuk pulang ke kampong atau membuat persiapan menyambut hari lebaran. Sememangnya agama Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan hari raya. Ini kerana hari raya adalah hari kemenangan kita ummat Islam melaksanakan rukun Islam ketiga dan berjaya menumpaskan hawa nafsu dan godaan syaitan.
Cuma kita diberi peringatan agar jangan mengabaikan nilai dan roh Ramadan sehingga seolah-olah ibadah puasa yang kita kerjakan langsung tiada memberi kesan yang baik kepada diri kita. Sawajarnya sembahyang terawih yang dikerjakan setiap malam Ramadan dapat membiasakan kita mengamalkan sembahyang-sembahyang sunat yang lain. Kesabaran menahan lapar dan dahaga sepanjang siang Ramadan juga sawajarnya menjadikan diri kita lebih sabar menjalani liku-liku kehidupan. Latihan kesabaran tersebut dapat membuang sikap panas baran, gopoh-gapah dan mementingkan diri sendiri yang mungkin menjadi kebiasaan kita sebelum ini . Begitu juga, berpuasa dapat mengembalikan kesihatan tubuh badan yang mungkin sebelum ini kita tidak berkesempatan mengamalkan pemakanan yang seimbang.
Minggu hadapan sekiranya dipanjangkan usia, maka dapatlah kita semua menyambut Hari Raya Aidilfitri. Islam telah mensyariatkan kepada kita semua, agar menyambut hari raya mengikut peraturan sebagaimana yang ditetapkan semoga hari raya yang kita sambut menjadi ibadah yang mendapat ganjaran pahala dari Allah s.w.t. Selain itu, Islam juga menganjurkan umatnya agar mengambil kesempatan di hari raya ini untuk memupuk perasaan kasih mesra antara satu sama lain, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa, kaum keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat yang ada di sekeliling kita tanpa mengira kedudukan, fahaman dan usia. Disamping mengambil kesempatan di hari yang mulia ini untuk bermaaf-maafan, mengucapkan selamat sejahtera antara satu sama lain dan sebagainya yang mungkin jarang sekali dapat kita lakukan di masa-masa yang lain di luar musim perayaan seumpama ini.
Selain itu, etika berhari raya seperti yang dianjurkan dalam Islam hendaklah dipatuhi, diantaranya:
- Sentiasa menghidupkan amalan bertakbir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah pada malam dan pagi hari raya.
- Mengamalkan budaya ziarah menziarahi bagi mengerat hubungan silaturahim dan bermaf-maafan antara satu sama lain.
- Menggalakkan amalan bersedekah kepada golongan yang memerlukan bagi mengembirakan mereka.
- Memakai pakaian yang baru, cantik dan bersih.
- Mengelakkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh agama.
Maksudnya : " dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada-mu mengenai aku, maka ( beritahu kepada mereka ) sesungguhnya aku ( Allah ) sentiasa hampir ( kepada Mereka ), aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku ( dengan mematuhi perintahku ), dan hendaklah mereka beriman kepada aku supaya mereka menjadi baik serta betul ". ( Surah al-Baqarah ayat: 186 )
Marilah sama-sama kita sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah memohon keselamatan dan keberkatan sepanjang perjalanan kita di muka bumi ini dan akhirat kelak. INSYA ALLAH . " Selamat Menyambut Hari Raya Aidul Fitri Maaf Zahir dan Batin ".
Dipetik dari Khutbah Jumaat oleh JAKIM