Friday

Hubungan Yang Sihat

Pakar psikologi berpendapat terdapat tujuh (7) kualiti yang menjadi teras sebuah perhubungan yang sihat dan ia adalah seperti berikut:-
  1. Rasa hormat - Adakah dia menganggap anda seorang yangcool dan kenapa?Rasa hormat terhadap satu sama lain dalam satu perhubungan ialah secara asasnya tidak melebihi had dan batas yang tidak disukai oleh pasangan masing-masing. Ertinya sekiranya kita mengetahui tahap kebolehan pasangan tidak seperti yang diharapkan maka jangan jadikan alasan untuk menjatuhkannya. Pilihlah jalan terbaik dengan meninggikan rasa hormat terhadap satu sama lain.
  2. Kepercayaan - Tidak mengapa untuk sesekali rasa cemburu tetapi jangan sampai menipu pasangan anda akan sesuatu perkara yang anda telah lakukan. Kepercayaan amat penting dalam satu hubungan kerana menerusi kepercayaan anda boleh melepaskan pasangan kepada dan ke mana sahaja dia mahu pergi. Dan jangan sesekali menggugat kepercayaan diberi kerana anda tidak mungkin lagi mudah mendapat kepercayaan yang amat berharga dari pasangan anda itu. Pasangan yang saling tidak mempercayai adalah tanda perhubungan yang tidak sihat.
  3. Kejujuran - Ini perlu seiring dengan kepercayaan. Pernahkah anda menipu pasangan anda, sebagai contoh anda memberitahunya bahawa anda terpaksa bekerja pada malam Jumaat tetapi sebenarnya anda menonton wayang bersama kawan-kawan? Awas , adalah sukar jika anda benar-benar memerlukan kepercayaannya kerana dia telah mempunyai persepsi bahawa anda tidak jujur dalam perhubungan.
  4. Sokongan - Sokongan perlu bukan sahaja masa senang tapi juga waktu susah. Ada pasangan yang boleh bahagia bila hidup senang namun tidak apabila terjadi sebaliknya. Dalam perhubungan yang sihat, pasangan harus bersedia menerima dan memberi galakan dalam apa juga perkara yang dirasakan mendatangkan kebaikan kepada mereka.
  5. Kesaksamaan - Perhubungan yang baik perlu menerima dan memberi seadanya. Jika anda suka menonton saluran lain sebagai contoh saluran hiburan, tetapi pasangan mahu menonton perlawanan bola sepak yang digemarinya, bolehkah anda beralah? Dalam satu keadaan lain adakah anda boleh bergaul baik dengan rakan pasangan anda atau anda hanya akan seronok jika bertemu rakan anda sendiri? Memanglah lebih seronok bertemu rakan sendiri tetapi bertolak ansurlah supaya dia juga bertimbang rasa jika tiba masanya kelak.
  6. Cuba meletakkan diri di tempat si dia - Dalam perhubungan yang sihat masing-masing mestilah berkompromi. Tetapi tidak bermakna anda tidak mempunyai pendirian diri. Anda tetap mempunyai keluarga, rakan, kegemaran dan hobi sendiri dan itu tidak akan berubah. Anda juga berhak menambah minat atau aktiviti baru dalam hidup, berkawan baru dan terus maju ke hadapan.
  7. Komunikasi berkesan - Anda mungkin banyak kali mendengar cara percakapan lelaki dan wanita tidak sama dari segi maksud dan bahasa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah apabila pasangan bercakap tidak ada apa-apa, semuanya okay adakah dia benar-benar maksudkan. Sebaiknya berterus teranglah tentang apa yang anda rasa. Gunakan perkataan yang baik, jangan membiarkan emosi menguasai diri. Sebaiknya berfikir sebelum anda bercakap. Jangan memaksa pasangan melakukan sesuatu yang dia tidak mahu.
Bagaimana pula menilai perhubungan yang tidak sihat?. Apabila pasangan di dalam hubungan tersebut tiada lagi rasa hormat, salah seorang terlalu mengongkong dan tindak tanduk yang di luar batasan.

Ada orang yang membesar dalam persekitaran yang tidak sihat, sebagai contoh, dia sering didera atau melihat bapa membelasah ibu sewaktu kecil. Penderaan tersebut merangkumi emosi, kata-kata dan perbuatan. Jadi perkara keganasan nampaknya seperti normal kepada dirinya, tidak sama sekali!

Sifat kebaikan dan hormat adalah kriteria utama untuk perhubungan sihat. Jika anda atau pasangan anda mempunyai latar belakang pahit seperti di atas sebaiknya merubah diri dengan berjumpa pakar psikologi atau terapi. Dalam pada itu jika pasangan bersikap tidak patut terhadap anda, jangan biarkan perkara itu terus berlaku atas nama cinta, kerana perhubungan yang sihat ialah yang harmoni dan tiada penganiayaan dalam apa jua bentuk. Dalam kebanyakan kes penganiayaan perhubungan, pemangsa mungkin akan menjelaskan kepada pasangan bahawa tindakan tersebut dibuat kerana sayang. Sebagai individu yang rasional ketahuilah perhubungan yang membuatkan hati anda terluka tentulah perhubungan yang tidak sihat.

Tiada siapa pun berhak dipukul, dimarah atau dipaksa melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Tanya diri, adakah pasangan anda...
  • marah jika anda tidak dapat meluangkan masa untuknya
  • mengkritik cara anda berpakaian dan bercakap yang anda bertuah kerana dapat memilikinya
  • tidak membenarkan anda bertemu atau bersembang dengan rakan lelaki atau perempuan
  • minta anda berhenti dari aktiviti yang anda gemari dan telah dilakukan selama ini
  • pernah cuba memukul ketika dia sedang marah
  • memaksa melakukan seks dengannya dalam keadaan anda tidak sedia.
Ini cuma beberapa soalan yang anda boleh tanya kepada diri anda sendiri, terdapat banyak lagi cara yang menunjukkan sesebuah perhubungan itu tidak sihat. Jika ini berlaku jangan pendam dan ceritakan kepada rakan karib atau ahli keluarga lain agar mereka tahu dan boleh memastikan anda selamat. Kini terdapat juga badan sukarela yang boleh membantu, jadi ambil inisiatif ke arah hubungan yang lebih sihat.

: Sayangi Diri : Sayangi Keluarga